Wanita. Satu perkataan yang pabila dengarnya perkataan itu maka terbayanglah seorang insan yang cantik, ayu dan terbayangkan keindahan. Sesungguhnya wanita adalah perhiasan dan keindahan.
Dari Abdullah bin ‘Amr radhiallahu ‘anhuma bahwa Rasulullah Shalallahu
‘alaihiwassalam bersabda:
“Dunia ini adalah perhiasan/kesenangan dan sebaik-baik
perhiasan/kesenangan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR.
Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
Begitulah Rasul junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W menggambarkan wanita.
Betapa Islam begitu memartabatkan wanita dalam kehidupan seharian kita. Wanita
solehah adalah sebaik-baik dan seindah-indah perhiasan di dunia ini.
Pada zaman dahulu terutama pada zaman jahiliyah sebelum munculnya sinar
Islam di jazirah Arab, wanita seumpama tiada hak dan keadilan. Wanita langsung
tidak dipandang mulia malah dihina. Malah jika seorang bayi perempuan yang
lahir, ada yang sanggup membunuh anak kecil itu kerana mempunyai seorang anak
perempuan dianggap hina oleh masyarakat Arab Jahiliyah. Saidina Umar Al-Khattab
sendiri telah membunuh anak perempuannya sendiri sebelum beliau menerima
hidayah Islam. Kita boleh lihat betapa hinanya wanita pada ketika itu.
Namun kedatangan sinar Islam telah menerangi semesta alam. Martabat
wanita diangkat tinggi dan dipandang mulia dalam agama Islam. Namun pada masa
kini, idealogis Barat telah memfitnah Islam dengan mengatakan bahawa Islam
tidak menghargai wanita dan mengongkong wanita daripada hak-hak mereka. Namun,
banyak wanita-wanita Barat memeluk Islam kerana kebenaran Islam dan penghargaan
Islam kepada wanita.
Sesungguhnya pada pandangan Allah, wanita dan lelaki itu adalah sama.
Yang membezakan kita hanyalah ketaqwaan dan keimanan kepada Allah Azza Wajalla.
Ini dapat kita lihat dalam firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah.
Dan orang-orang yang
beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi
sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari
yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan
Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha
Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Allah menjanjikan
kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) surga yang
dibawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat)
tempat-tempat yang bagus di surga ‘Adn. Dan keridhaan Allah adalah lebih besar;
itu adalah keberuntungan yang besar. ( At-Taubah : 71-72)
Ayat-ayat ini telah
menegaskan bahawa tidak ada perbezaan antara kaum Adam dan kaum Hawa di hadapan
Allah. Tidaklah martabat dan kemuliaan wanita itu lebih rendah daripada
martabat seorang lelaki melainkan ketaqwaan dan keimanan yang membezakannya.
Wanita dan lelaki itu
saling memerlukan antara satu sama lain. Hingga Allah telah mengumpamakan
wanita dan lelaki itu ibarat pakaian sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah
Al-Baqarah ayat ke 187:
Dihalalkan
bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu;
mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. (Al-Baqarah
: 187)
Lihatlah betapa indah
perumpamaan yang Allah buat. Lelaki dan wanita itu saling melengkapi dan
menutupi kekurangan dan kelemahan masing-masing. Dalam ketaqwaan kepada Allah
lah manusia itu akan lebih berkasih sayang dan mengindahkan kehidupan seharian
dengan kasih dan sayang daripada Allah.
Wanita begitu dimuliakan dalam Islam sehingga Islam begitu
menitikberatkan soal wanita. Pada pandangan Barat, wanita Islam dikongkong hak
mereka kerana wanita Islam terpaksa menutup aurat, memakai tudung, tidak boleh
keluar rumah tanpa izin suami dan banyak lagi larangan yang dikenakan terhadap
wanita. Barat melihat itu semua sebagai konkongan dan penghinaan Islam terhadap
wanita. Tetapi sesungguhnya semua itu adalah untuk memelihara wanita sebagai
perhiasan yang paling indah di dunia ini. Islam memelihara dan mengongkong
wanita kerana wanita itu adalah mahal dan tidak ternilai. Jika kita hendak
membeli sesuatu perhiasan ataupun barang yang mahal, kita mahu membeli
perhiasan yang diletak diluar tanpa penjagaan rapi? Adakah kita mahu membeli
sesuatu yang sering dipegang-pegang? Adakah kita mahu membeli perhiasan yang
tidak ditutup dan dikotori oleh debu-debu? Maka itulah kemuliaan yang Islam
letakkan pada seorang insan bergelar wanita. Wanita begitu dijaga rapi dengan hukum-hukum
Islam. Wanita dilarang bersentuhan dengan yang bukan mahramnya kerana ingin
memberikan sesuatu yang istimewa hanya untuk suami. Wanita diarah untuk
menyembunyikan kecantikan rambut-rambut dan anggota tubuh mereka kerana semua
itu hanyalah yang teristimewa untuk suami yang berusaha untuk mendapatkan
perhiasan yang paling indah. Maka itulah hikmah disebalik semua hukum-hukum
yang Allah tetapkan.
Maka sebagai seorang wanita, hendaklah menjaga batas-batas
pergaulan, aurat dan semua yang ditetapkan oleh Islam agar anda menjadi seindah-indah
perhiasan yang tidak ternilai hanya untuk suami anda.
Ana rasa setakat itu sajalah entry untuk kali ini. Semoga
wanita-wanita muslimah di luar sana berusaha untuk menjadi seindah-indah
perhiasan di dunia. Hargailah diri anda kerana anda diciptakan untuk menjadi
yang indah-indah. Semoga kita semua mendapat manfaat dan keredhaanNya di dunia
dan di akhirat. Maaf dipinta jika terdapat salah dan silap dalam penintaan
hamba yang lemah ini. Teruskanlah perjalanan kita sebagai musafir dunia dalam
mencari syurga yang hakiki dan kekal selamanya.
Sekian, Assalamualaikum w.b.t.
Fi hifzillah.
No comments:
Post a Comment