Friday 22 November 2013

Cinta?



CINTA 
Satu ungkapan yang pastinya difahami semua lapisan masyarakat tidak mengira usia. Cinta itu banyak definisinya dan banyak juga caranya.
Bukanlah hamba ini doktor cinta atau pakar cinta namun ingin segala hamba ini ingin mengutarakan pandangan dan pendapat hamba mengenai cinta.
Cinta yang mahu saya sentuh pada kali ini adalah CINTA DALAM KALANGAN ANAK MUDA. Sudah menjadi panaroma biasa jika melihat anak muda berlainan jantina berjalan mesra bergurau senda di tempat-tempat awam seperti shopping complex dan sebagainya. Dikatakan ketinggalan zaman jika anak muda terutama pelajar IPT jika tidak mempunyai kekasih pujangga hati.

CINTA DALAM ISLAM
Apakah CINTA menurut pandangan Islam dan bagaimanakah caranya untuk BERCINTA mengikut landasan Islam yang sebenar. Cinta yang utama haruslah cinta kepada Pencipta kita Allah S.W.T dan kemudiannya kepada Rasulullah S.A.W dan agama. Selepas itu barulah cinta kepada manusia samada keluarga, sahabat mahupun kekasih hati.
 Kecenderungan dan tarikan terhadap insan yang berlainan jantina merupakan fitrah manusia dalam kehidupan. Mustahil jika ada yang mengatakan mereka langsung tidak mempunyai rasa cinta. Cinta merupakan perasaan yang wajib dalam setiap insan bergelar manusia samada Adam atau Hawa. Islam langsung tidak pernah melarang manusia untuk bercinta namun terdapat cara-cara dan panduannya agar kita tidak terbabas daripada landasan syariat.
Allah telah berfirman dalam Al-Quran bahawa perasaan cinta adalah fitrah kita sebagai insan. 

“dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa wanita-wanita, .... ( Ali Imran: 14).

NAMUN! Yang menjadi masalahnya adalah apabila golongan muda Islam sekarang ini tidak mempunyai ilmu dan tidak mengikut panduan dan landasan cinta seperti yang ditetapkan dalam Islam. Cinta tanpa batasan dan panduan akan menyebabkan kita terutama remaja akan terjebak ke dalam kancah maksiat dan zina seperti yang kerap berlaku zaman sekarang. Akibatnya, lahirlah insan tanpa bapa yang sah dan akhirnya riwayatnya tamat di lubang-lubang tandas tidakpun tong sampah yang jijik.

Cinta bukanlah bermakna berpasangan atau couple dalam istilah anak muda zaman sekarang. Cinta yang sebenar adalah melalui perkahwinan. Bercouple hanya akan membuatkan kita bermimpi dengan mainan cinta. Semua yang kita lihat akan menjadi indah belaka. Seolah tiada cacat celanya dalam percintaan. Bak kata Ustazah Fatimah Syarha, semuaa yang kita lihat masa bercouple hanya lakonan semata-mata. Kita tidak menjadi diri kita yang sebenar, semua yang kita lakukan, segala perbuatan kita hanya lakonan supaya kelihatan indah dan baik di hadapan pasangan kita. Malah bercouple menjerumuskan kita ke dalam lembah maksiat. Pabila bercouple, mestilah mahu makan bersama. Selepas itu menonton wayang, keluar berjalan dan akhirnya sampai ke ranjang yang kesudahannya lahirlah anak luar nikah.




Tiada cinta antara wanita dan lelaki kecuali perkahwinan. Maka jalan yang sebenar ialah menjejakkan kaki ke jinjang pelamin dan menjadi yang halal buat pasangan masing-masing. Bukannya bercinta dengan cara membawa ke hulu ke hilir anak gadis yang bukan mahram bagi kita. Tidak ada salahnya jika kita hendak berkahwin pada usia yang muda malah itu lebih digalakkan bagi mengelakkan maksiat berlaku sekaligus menjerumuskan kita ke dalam lembah penzinaan.

Syaitan dan iblis amat membenci manusia yang kahwin pada usia muda kerana itu telah membuatkan mereka terselamat daripada terjerumus ke dalam kancah maksiat. Sepertimana dalam hadi Rasulullah S.A.W:

Jabir bin Abdillah r.a. menyatakan Rasulullah bersabda: “Barang siapa di antara remaja berkahwin dalam usia muda, maka menangislah syaitan. Dan ia(syaitan) mengeluh: aduh celaka aku, agamanya telah terpelihara dari godaanku’.” (HR. Ibnu ‘Addi) 

Syaitan sentiasa berusaha menjerumuskan kita ke dalam dosa dan salah satunya melalui menjebakkan kita dengan maksiat. Maka, perkahwinan pada usia yang muda itu membuatkan syaitan menangis kerana perkahwinan merupakan pelindung untuk kita daripada melakukan dosa dan maksiat.
Mungkin masyarakat kini terlalu sempit pemikirannya. Apabila ada remaja yang ingin bernikah awal sering kali banyak halangannya terutama daripada keluarga sendiri. Ini kerana perkahwinan yang seharusnya menurut syariat Islam telah bercampur aduk dengan adat. Maka perkahwinan itu semakin susah. Alasan seperti tiada perkerjaan, ekonomi dan kematangan sering kali terbisik ke telingan masyarakat dan membuatkan banyak anak muda berasa tidak sesuai untuk berkahwin pada usia muda. Posting pada kali ini saya tidak mahu menyentuh banyak mengenai kahwin muda hanya fokuskan kepada konsep cinta dalam Islam.
Jelaslah sudah bahawa cinta itu sememangnya perlu tetapi pada masa dan cara yang betul. Salurkanlah cinta anda pada medium yang sebenarnya yang berlandaskan syariat Islam. Bercouple bukanlah jalan yang benar untuk bercinta. Jika berasa pasangan atau individu itu sesuai untuk dijadikan pasangan hidup, maka segerakanlah berjumpa keluarga dan teruslah mengikat dengan pertunangan dan percepatkanlah perkahwinan. Moga kita semua selamat daripada godaan syaitan yang tidak pernah lelah untuk menyesatkan umat manusia. Hamba ini bukanlah insan sesuci malaikat bukan juga seorang alim ulama, maka jika terdapat salah dan silap mohon diampunkan. Perjalanan hamba dan kita semua dalam menuju destinasi abadi masih jauh. Moga kita tidak tersimpang dari jalan yang sebenar.

Assalamualaikum.     



Sebelum sudah, sudilah agar membaca puisi tinta hamba yang tidak seberapa ini.

Mekar indah kuntuman bunga
Cantik dipandang tenang rasanya
Cinta itu tinggi nilainya
Cinta Ilahi pasti ke syurga

Cantim rupawan jelita rupanya
Ingin dipetik di hati bertakhta
Jadi yang halal impian semua
Dengan syariat kita bercinta